Sunday, August 5, 2018

Peranan Pelajar Dalam Mewujudkan Perpaduan Melalui Integrasi Budaya



NAMA AHLI KUMPULAN

MUHAMMAD NADZMI BIN MD AZAM                                02DKM16F1154
MUHAMMAD NABIHAN IRFAN BIN MOHD NUSRIZAN     02DKM16F1159
SALMAN BIN RIDZUAN                                                       02DKM15F1125
IZZAL ZAKWAN BIN AHMAD NAZRI                                  02DKM15F1001
MOHD SHAHRUL NIZAM BIN ZAINUMDAIL                      02DKM15F1091
MUHAMMAD HANIF FADHILAH BIN BAHRI                      02DKM15F1128

PENGENALAN

Perpaduan ialah penyatuan, dan darjah serta jenis penyatuan yang dipamerkan sesebuah masyarakat ataupun kumpulan dan jiran mereka. Ia merujuk kepada semua perhubungan sosial yang mengaitkan manusia. Istilah ini lazimnya digunakan dalam bidang sosiologi ataupun sains kemasyarakatan. Asas perpaduan bagi sesuatu masyarakat berbeza. Dalam masyarakat ringkas atau biasa ia mungkin berdasarkan hubungan kekeluargaan dan nilai saling menghormati dan menyayangi. Bagi masyarakat yang lebih kompleks pula, terdapat beberapa teori berkaitan faktor yang menyumbang kepada perpaduan sosial ataupun masyarakat.

Negara Malaysia sebuah negara yang aman damai disamping penduduknya yang berbilang kaum. Keadaan ini dapat dikekalkan kerana berlakunya toleransi antara kaum utama terbesar dinegara kita iaitu melayu, cina dan india. Justeru itu, kita seharusnya bersyukur dengan keamanan dan keharmonian di mana kita boleh duduk bersama serta berbincang tanpa ada rasa perbezaan antara satu sama lain. Persefahaman yang telah berjaya dicapai ini perlu dikekalkan supaya tiada perasaan curiga antara kaum kerana ia akan menjejaskan serta merosakkan semangat kejiranan yang telah terjalin sejak sekian lama
 Permusuhan dan prasangka hanya akan memcetuskan kekacauan di dalam kalangan masyarakat majmuk di negara yang kita cintai ini. Persengketaan hendaklah dijauhi supaya perpaduan dapat dikekalkan dan dapat mengelakkan penjajahan seperti yang pernah berlaku satu ketika dulu. Allah juga telah menekankan mengenai perpaduan di dalam surah Al-Imran ayat 103 yang bermaksud:




‘Berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam) dan jangan kamu berpecah-belah, kenangkanlah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahilliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu, maka jadilah kamu dengan nikmatnya itu orang-orang yang bersaudara; dan kamu telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu dari padanya.

Isu-isu yang berkaitan dengan perpaduan kaum kerap dibincangkan dalam surat khabar dan televisyen. Hal ini kerana rakyat Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum dan agama. Terdapat beberapa kebaikan perpaduan kaum kepada masyarakat dan negara. Antara kebaikan perpaduan kaum ialah masyarakat dapat hidup dalam keadaan aman dan damai. Keadaan masyarakat yang aman dan damai ini membolehkan aktiviti harian berjalan dengan baik. Masyarakat pelbagai kaum boleh melakukan aktiviti keagamaan dengan bebas dan lancar. Perhubungan yang jitu dalam masyarakat memainkan peranan penting dalam memupuk semangat perpaduan serta mewujudkan keamanan dan kesejahteraan dalam negara. Dalam Islam itu sendiri telah menekankan mengenai asas yang utuh melalui tiga dasar utama iaitu akidah, syariah dan akhlak. Perhubungan sosial masyarakat yang digariskan dalam Islam ialah berkenal-kenalan kerana menjadi fitrah manuasia untuk menjalin hubungan dan berkasih sayang antara satu sama lain. Seperti firman Allah SWT di dalam al-Quran Surah al-Hujuraat ayat ke 13 yang bermaksud :



‘Wahai umat manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada lelaki dan wanita dan Kami menjadikan kamu pelbagai bangsa, bersuku-suku dan berpuak-puak, supaya kamu saling mengenali antara satu sama lain (beramah mesra antara satu sama lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu (bukan yang lebih baik keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah amat mengetahui lagi amat mendalam pengetahuannya.’

Perpaduan mengikut islam bukanlah sekadar mempunyai hubungan yang baik sesama islam sahaja tetapi merangkumi kepada kaum lain yang bukan islam juga. Banyak sejarah dan teladan yang dapat dipelajari melalui persefahaman perpaduan ini yang telah lama dipratikkan oleh Baginda Rasulullah SAW. Sebagai contoh, usaha baginda untuk membina masyarakat di Madinah dengan mendirikan masjid sebagai asas perpaduan. Baginda juga mempersatukan dua golongan yang telah berates tahun bermusuhan sesama sendiri iaitu golongan Khaus dan Khazraj, yang golongan ini dikenali sebagai Ansar. Juga, baginda menyatukan umat islam di Madinah dengan masyarakat yahudi dan kristian dengan melakukan pembahagian hak kepadaa mereka supaya tidak dicerobohi oleh umat islam di madinah. Kesan dari keadilan yang dilakukan oleh baginda, kelompok umat islam di madinah yang awalnya sedikit menjadi semakin bertambah dek kerana tertarik dengan cara yang dipratikkan oleh baginda. Hasilnya, terbentuklah satu masyarakat yang bersatu padu yang disatukan dengan ikatan ukhwah islamiah yang bercirikan kehendak Allah SWT dan Rasul.


PERPADUAN

Perpaduan boleh ditakrifkan sebagai satu proses yang menyatupadukan anggota masyarakat dan negara seluruhnya melalui ideologi negara supaya tiap-tiap anggota masyarakat dapat membentuk satu identiti dan nilai bersama serta satu perasaan kebangsaan dalam kalangan mereka. Perpaduan masyarakat merupakan antara aspek yang penting dalam membentuk perpaduan negara. Malaysia kini dihuni oleh beberapa kaum dan etnik yang bersifat majmuk yang membawa kepada wujudnya jurang perpisahan

INTEGRASI

Integrasi merupakan proses penyatuan masyarakat yang berasal daripada latar belakang, budaya dan cara hidup yang berbeza untuk membentuk satu entiti yang berlandaskan norma masyarakat tertentu demi kepentingan bersama. Persefahaman antara kaum ini akan terjalin dan seterusnya mengukuhkan lagi perpaduan negara.


PERANAN PELAJAR DALAM MEWUJUDKAN PERPADUAN MELALUI INTEGRASI BUDAYA



Antara peranan yang dapat dimainkan oleh pelajar dalam mewujudkan perpaduan melalui integrasi budaya antaranya ialah melalui aktiviti kokurikulum. Perpaduan di peringkat institusi pengajian tinggi dapat dicapai melalui mengadakan kurikulum yang seragam untuk semua institusi pengajian tinggi. Aktiviti kokurikulum boleh dikatakan sebagai bidang pelajaran di institusi pengajian tinggi mahupun sekolah. Kokurikulum merupakan satu saluran pembelajaran yang berasaskan gerak kerja yang terancang. Kepentingan pelaksanaan aktiviti ini setara dengan kepentingan pelaksanaan aktiviti di dalam bilik darjah kerana peranannya juga turut menjadi penyumbang dan pelengkap kepada keberkesanan pengajaran dan pembelajaran di ipt keseluruhannya. Aktiviti-aktiviti kokurikulum dapat membantu pelajar untuk menambah, mengukuh, mengamalkan pengetahuan, kemahiran dan nilai-nilai yang telah dipelajari.


Peranan utama kokurikulum ialah untuk memupuk dan mengeratkan hubungan di kalangan pelajar dan juga antara institusi pengajian tinggi dengan masyarakat. Sebagai contohnya, melalui aktiviti kurikulum yang melibat pelajar untuk keluar mengadakan aktiviti kemasyarakatan diluar kawasan institusi seperti aktiviti gotong royong, lawatan ke rumah orang tua dan juga bantuan kepada mangsa banjir, secara tidak langsung para pelajar akan berhadapan dengan masyarakat luar dan bersama-sama menjayakan sesuatu aktiviti tersebut. Oleh demikian, hal ini dapat mengeratkan hubungan sesama pelajar itu sendiri dan juga dapat mengeratkan hubungan dikalangan pelajar dengan masyarakat setempat. Dengan ini perpaduan mula berpucuk di kalangan pelajar dan secara langsung menuju ke arah integrasi nasional.

Sukan juga menjadi salah satu daripada alat perpaduan di peringkat institusi pengajian tinggi. Sukan dijalankan bukan hanya semata-mata untuk kesihatan tetapi juga untuk perpaduan di kalangan masyarakat. Melalui aktiviti sukan ianya dapat mewujudkan persefahaman, semangat kekitaan dan perpaduan diantara pelajar-pelajar institusi pengajian tinggi. Pada hari sukan, semua pelajar akan terlibat dalam sesuatu aktiviti permainan, perarakan dan perhiasan khemah dengan bersatupadu tanpa mengira bangsa, agama dan warna kulit. Penerapan aktiviti seperti pembarisan kawad kaki dan perkhemahan yang dijalankan oleh badan-badan beruniform seperti Kadet Polis, Rela, Askar Wataniah dan sebagainya. Tujuan utama aktiviti-aktiviti ini dianjurkan adalah untuk memupuk perpaduan, semangat cinta akan negara dan membentuk integrasi di kalangan peserta.

Semangat kekitaan akan mula timbul apabila menjalankan aktiviti-aktiviti secara kumpulan dan berkerjasama untuk mengharungi segala cabaran semasa aktiviti. Kerjasama antara satu sama lain dan tolong-menolong akan membentuk sikap bersatu padu. Sebagai contohnya, ketika aktiviti perkhemahan berlangsung setiap peserta akan saling mengenali dan juga kan bersama-sama menolong antara satu sama lain dalam usaha mengharungi segala cabaran semasa aktiviti tanpa mengira latar belakang dan budaya yang berbeza. Secara tidak langsung setiap peserta dapat mengenali antara satu sama lain seterusnya dapat mewujudkan hubungan perpaduan.

Peranan kedua yang perlu dipegang oleh remaja ialah mereka sendiri menjadi suri teladan kepada rakan-rakan sebaya. Rakan sebaya juga ialah sahabat daripada lingkungan latar belakang yang sama dan suka bersama dalam pelbagai aktiviti dan matlamat atau dalam kata lain menpunyai minat yang sama. Rakan sebaya boleh memberi pengaruh yang positif atau kebaikkan antara satu sama lain dan kadang kala boleh mempengaruhi dalam bentuk yang negatif atau kejahatan. Rakan sebaya yang terdiri daripada pelajar-pelajar yang baik akan terlibat dalam aktiviti- aktiviti yang lebih memberi kesan positif kepada rakan-rakan yang lain seperti terlibat dalam aktiviti kokurikulum dan aktivit meningkatkan kemahiran diri manakala rakan sebaya yang terdiri daripada pelajar pelajar yang bermasalah akan memberi kesan yang sama kepada rakan-rakan yang lain.Rakan sebaya bukan sahaja mmpengaruhiseorang individu seara negatif melalui pujukan dan paksaan tetapi juga secara positif dengan memberi khidmat, sokongan dan peluang untuk membincangkan pandangan-pandangan yang bertentangan.Pengaruh kuat rakan sebaya boleh digunakan secara konstruktif untuk membentuk tingkah laku yang positif dikalangan mereka.

Dalam hubungan ini setiap remaja mestilah mengamalkan dan menerapkan semangat perpaduan dalam kalangan rakan sebaya. Remaja mesti menunjukkan sikap saling menghormati rakan-rakan yang berbeza latar belakang budaya dan agama. Contohnya, remaja perlu menghormati amalan dan anutan agama rakan-rakan. Di samping itu remaja perlu mengelakkan diri daripada membangkitkan isu-isu yang sensitif dan dapat menaikkan kemarahan rakan-rakan dari bangsa dan agama yang lain. Setiap perselisihan pendapat hendaklah diatasi secara bijaksana dan berhemah, bak kata pepatah seperti menarik rambut dalam tepung, rambut tidak putus tepung tidak berselerak. Oleh yang demikian, remaja perlu menjadi suri teladan untuk memupuk semangat perpaduan.

Para pelajar juga hendaklah menghindarkan diri dari bersangka buruk dan hasad dengki terhadap pelajar lain. Akhlak ini akan membawa kepada pepecahan dan pepecahan akan membawa kepada kelemahan ummah. Selain itu, pelajar perlu menglibatkan diri dalam setiap aktiviti yang dianjurkan oleh pihak atasan yang menglibatkan pelajar pelbagai kaum. Dengan itu mereka akan bekerja, membantu dan tolong menolong di antara satu sama lain untuk memupuk semangat kerjasama dan saling mempercayai di antara satu sama lain.

Peranan ketiga ialah remaja mestilah mengasimilasikan budaya pelbagai kaum dalam kehidupan seharian. Negara Malaysia sangat unik kerana rakyatnya terdiri daripada pelbagai kaum. Contohnya, kaum Melayu, Cina, dan India merupakan tiga kaum yang dominan di negara ini. Selain itu, rakyat negara ini juga terdiri daripada etnik peribumi yang tidak kurang pentingnya seperti Iban, Kadazan, Dusun, Orang Asli, Penan, dan termasuk juga golongan minoriti seperti Portugis, Siam, dan seumpananya. Remaja mestilah sanggup untuk menerima dan mengamalkan budaya yang sesuai dengan kehidupan.


Pengasilimisasikan budaya melalui alat muzik tradisional yang merupakan warisan budaya bagi setiap kaum di Malaysia sangat penting. Pada zaman dahulu, alat muzik tradisional memainkan peranan sebagai alat penyebaran maklumat, alat ritual dan alat hiburan. Alat muzik tradisional boleh dibahagikan kepada 5 kategori iaitu, kordofon, membranofon, erofon, idiofon dan erofon bebas. Bagi kaum Melayu, alat-alat muzik yang dimainkan oleh mereka ialahgambus, rehab, gong, kompang, rebana, maruás, nahara, seruling, serunai, nafiri, angklung, bonang dan sebagainya. Kompang merupakan alat muzik tradisional yang paling popular bagi masyarakat Melayu. Kompang biasanya dimainkan semasa perarakan, kenduri dan upacara-upacara tradisi lain. Kaum Cina pula memainkan alat-alat muzik tradisional seperti erh-hu, pipa, yangqin, sheng dan seruling cina. Dalam masyarakat Cina, erh-hu dan pipa sentiasa digunakan sebagai alat solo untuk hiburan dan juga digunakan dalam orchestra untuk mengiringi opera cina atau mengiringi nyanyian. Alat-alat muzik tradisional yang dimainkan oleh kaum India adalah seperti tempura, sitar, dholak dan sebagainya. Dholak ialah sebuah alat muzik kasikal India Utara dan biasanya digunakan dalam penghasilan rentak untuk lagu-lagu filem. Alat muzik ini juga digunakan untuk mengiringi nyanyian dan tarian semasa majlis perkahwinan India dilangsungkan.

Selain itu, Sabah dan Sarawak juga mempunyai latar belakang muzik tradisional yang berbeza. Di Sabah, alat muzik tradisional dimainkan semasa majlis perkahwinan, pertunangan, perayaan menuai, hari ulang tahun pertama kanak-kanak, upacara-upacara keagamaan animisma dan upacara-upacara berkaitan yang penting bagi masyarakat tempatan. Kebanyakan alat-alat muzik di Sabah diperbuat daripada bahan-bahan asli. Contohnya, tongkungon, turali, suling (atau seruling), sompoton dan togunggak diperbuat daripada buluh. Di Sarawak pula, alat-alat muzik tradisional yang dimainkan oleh mereka ialah lutang, sape, tawak dan sebagainya. Sape merupakan alat muzik yang amat popular di kalangan kaum Kenyah dan Kelabit. Sape boleh dimainkan secara solo atau berduet untuk menghasilkan kombinasi irama muzik yang lebih indah dan harmoni.

Peranan berikutnya ialah pelajar mengadakan sambutan hari perayaan. Kita sedia maklum bahawasanya Malaysia dikenali sebagai syurga perayaan kerana mempunyai begitu banyak perayaan yang disambut oleh masyarakatnya yang berbilang kaum. Antara perayaan utama yang disambut di Malaysia ialah Hari raya aidilfitri, tahun baru cina, deepavali dan banyak lagi jenis perayaan yang lain. Justeru, perayaan ini telah memberi satu dimensi baru kepada masyarakat di negara kita dalam erti perayaan yang sebenar.

Sambutan perayaan seperti hari raya aidilfitri, tahun baru cina dan deepavali yang disambut secara bersama dengan kaum lain amatlah penting. Hal ini diyakini berjaya sebagai salah satu langkah yang berkesan bagi mengeratkan hubungan antara kaum. Sebagai contoh, pada sambutan hari raya aidilfitri kesemua tetamu yang hadir memakai pakaian tradisional melayu secara tidak langsung acara ini dapat mewujudkan semangat perpaduan yang tinggi dan tiada lagi sifat perkauman.Selain itu, amalan lain yang pelajar boleh lakukan ialah mengunjungi rumah terbuka pada sambutan hari perayaan walaupun berbeza kaum dan agama. Cara ini mampu meningkatkan hubungan dan interaksi antara penduduk yang berbilang kaum. Semasa kunjungan di lakukan kita dapat beramah mesra dengan tuan rumah serta keluarganya dan sahabat handai yang lain. Aktiviti ini mampu merapakat hubungan antara kaum dan mampu mengelakkan peselihan faham antara masyarakat setempat.








Pelajar juga boleh menjemput kumpulan tarian untuk mengadakan persembahan perayaan. Sebagai contoh, semasa perayaan tahun baru cina pelajar yang lain daripada kaum cina bersepakat untuk mejemput kumpulan tarian tersebut untuk mengadakan persembahan tarian singa. Hal ini akan menyebabkan pelajar kaum cina akan merasa terharu dan hubungan antara kaum dapat dikukuhkan lagi. Aktviti seperti ini patut di jalankan setiap tahun semasa perayaaan supaya perpaduan kaum di Negara kita dapat di eratkan lagi. Juga, para pelajar boleh terlibat sama dalam persedian untuk persiapan menjalankan sambutan perayaan. Sebagai contoh, semasa kaum melayu melakukan persiapan untuk mengadakan rumah terbuka kaum lain boleh pergi membantu apa-apa tugas yang boleh dilakukan seperti mengupas bawang, memotong sayur, dan memasak. Hal ini dapat mengeratkan hubungan antara tuan rumah dan masyarakat setempat, kita boleh lihat semasa aktiviti gotong royong dijalankan penduduk dapat beramah mesra dan bergurau senda antara satu sama lain.

Oleh itu, sambutan hari perayaan hendaklah selalu diamalkan oleh masyarakat di negara kita. Pada masa yang sama sambutan ini hendaklah dijadikan satu perayaan kebangsaan yang perlu dinikmati bersama-sama. Daripada ini dapatlah kita lihat bahawa pelajar juga memainkan peranan yang penting dalam mewujudkan perpaduan integrasi budaya. Oleh itu pelajar masa kini haruslah peka dalam menghadapi kecanggihan masa kini untuk mewujudkan perpaduan integrasi budaya dalam kalangan kaum yang ada di dalam negara kita.

Peranan seterusnya ialah penghayatan dan mengambil iktibar dengan peristiwa negara yang pernah berlaku pada suatu masa dahulu merupakan satu peranan pelajar dalam mewujudkan perpaduan melalui integrasi budaya. Hal ini kerana, daripada peristiwa tersebut kita dapat belajar bahawa rusuhan dan perbalahan antara kaum tidak membawa sebarang kebaikan malah memberi impak yang besar kepada Negara. Justeru itu, para pelajar perlu mengelakkan daripada peristiwa tersebut berulang kembali demi menjaga keamanan dan kesejahteraan negara. Sebagaimana yang kita sedia maklum, peristiwa yang berlaku pada 13 Mei 1969 yang memberi kesan negatif kepada negara pada ketika itu dan sehingga sekarang pihak tertentu masih mengambil langkah untuk mengelakkan daripada ianya berulang kembali.


Peristiwa yang berlaku pada 13 Mei 1969 ialah rusuhan kaum yang berlaku dan kemuncak masalah perpaduan di Malaysia. Tragedi ini yang mengakibatkan kehilangan nyawa serta harta benda dan mempunyai kaitan yang rapat dengan "Pilihan Raya Umum 1969" merupakan satu titik hitam dalam sejarah negara Malaysia. Kita sebagai pelajar haruslah menganbil iktibar yang sebaiknya supaya tidak terjadi. Kita sebagai pelajar patut memahami semua peristiwa yang berlaku di negara kita supaya kita boleh mengolah sebaiknya peristiwa yang berlaku dengan tidak adanya unsur tokok tambah. Sebagaimana peristiwa isu perkauman yang berlaku, semasa kempen Pilihan Raya 1969, calon-calon pilihan raya serta ahli-ahli politik dari kalangan parti pembangkang, telah membangkitkan soal-soal bangsa malaysia berkaitan dengan Bahasa Kebangsaan (Bahasa Melayu), kedudukan istimewa orang melayu sebagai bumiputera dan hak kerakyatan orang bukan Melayu. Hal ini telah memberi kesempatan kepada ahli-ahli politik yang ingin mendapatkan faedah daripadanya dalam pilihanraya.

Pada pilihanraya umum 1969, Parti Perikatan yang dianggotai oleh UMNO, MCA, dan MIC gagal memperolehi majoriti 2/3 di parlimen walaupun masih berjaya membentuk kerajaan persekutuan. Hal ini disifatkan oleh parti pembangkang sebagai satu kemenangan yang besar buat mereka. Jumlah kerusi yang dimenangi Parti Perikatan dalam Dewan Rakyat (Parlimen) telah menurun daripada 89 kerusi pada tahun 1964 kepada 66 kerusi pada tahun 1969. Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Progresif Rakyat (PPP) menang 25 buah kerusi dalam Dewan Rakyat manakala PAS menang 12 kerusi.Pihak pembangkang yang memperoleh pencapaian gemilang dalam pilihanraya telah meraikan kemenangan mereka dengan berarak pada 11 Mei 1969. Perarakan tersebut sebenarnya tidak bermotif untuk menimbulkan isu perkauman. Namun, terdapat segelintir pengikut perarakan telah mengeluarkan slogan-slogan bersifat sensitif berkenaan isu perkauman semasa mengadakan perarakan di jalan-jalan raya sekitar bandaraya Kuala Lumpur. Perarakan turut dijalankan pada 12 Mei 1969 di mana kaum Cina berarak menerusi kawasan melayu, melontar penghinaan sehingga mendorong kepada kejadian tersebut. Pihak pembangkang yang sebahagian besar darinya kaum Cina dari Parti Tindakan Demokratik dan Gerakan yang menang, mendapatkan permit polis bagi perarakan kemenangan melalui jalan yang ditetapkan di Kuala Lumpur.

Bagaimanapun perarakan melencong dari laluan yaang ditetapkan dan melalui kawasan orang melayu iaitu Kampung Baru, menyorak penduduk di situ. Sesetengah penunjuk perasaan membawa penyapu, kemudiannya dikatakan sebagai simbol menyapu keluar orang melayu dari Kuala Lumpur, sementara yang lain meneriak slogan mengenai tengelamnya kapal perikatan iaitu logo perikatan. Ia berlarutan hingga ke 13 Mei 1969 sebelum Parti Gerakan mengeluarkan kenyataan meminta maaf pada 13 Mei di atas kelakuan penyokong mereka. Menteri besar Selangor, Dato' Harun Idris telah mengumumkan bahawa perarakan balas meraikan kemenangan UMNO akan dijalankan pada pukul 7.30 malam, 13 Mei 1969.

Peristiwa yang sebeginilah yang patut pelajar mengambil tahu kerana, ia dapat menghindarkan diri dan juga negara daripada berkalunya peristiwa sebegitu seperti peristiwa 13 Mei dimana berlakunya isu perkauman kerana jika peristiwa ini berlaku sekali lagi ia akan menampakkan bahawasanya negara kita semakin berpecah belah dari hari ke hari dan akan menjatuhkan martabat negara kita ini. Semoga sebulat suara pelajar atau sesiapa sekalipun yang berbilang bangsa tidak mengikut sebagaimana peristiwa yang berlaku pada di zaman dahulu.


KESIMPULAN

Kesimpulannya, pelajar juga amat memainkan peranan yang amat penting kepada negara dalam mewujudkan perpaduan melalui integrasi budaya agar semangat tersebut diamalkan dalam masyarakat serta merealisasikan hasrat kerajaan untuk menjadikan rakyat Malaysia hidup bersatu padu dan harmoni. Remaja merupakan tonggak utama negara di mana mereka perlu cakna akan peranan memupuk perpaduan tanpa mengira kaum, kepelbagaian etnik da kebudayaan supaya hasrat untuk membentuk sebuah negara cemerlang, terbilang dan gemilang tercapai. Selain itu, kesungguhan remaja dan pelajar dalam memupuk semangat perpaduan amat dituntut demi mewujudkan negara yang bersatu padu dan berdaya saing di peringkat global. Oleh itu, semua pihak perlu menanam sifat keikhlasan dalam diri masing-masing agar perpaduan tidak bersulamkan niat meretakkan. Jangan tangan kanan menghulur madu, tangan kiri menghulur racun.

RUJUKAN

-          http://amsn96.blogspot.com/

No comments:

Post a Comment